Rafizi Dedah, Dirinya Dan Isteri Terima Ugutan Selepas Anak Diserang

PARLIMEN | Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa isterinya telah menerima mesej berbaur ugutan susulan insiden serangan terhadap anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.

Menurut Rafizi, mesej tersebut diterima sekitar pukul 1.45 tengah hari dan mengandungi ancaman yang mengaitkan tindakan lanjut dengan jangkitan penyakit berbahaya.

“Isteri saya terima mesej berbaur ugutan berbunyi ‘diam, jika teruskan, AIDS’ berserta emoji picagari,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Lebih mengejutkan, Rafizi turut menerima mesej serupa daripada nombor telefon yang sama pada pagi ini.

“Saya terima mesej sama berbunyi ‘diam, andai teruskan AIDS’ disertakan emoji picagari.

“Ia datang daripada nombor yang sama dengan mesej yang diterima isteri semalam,” kata beliau.

Rafizi menjelaskan bahawa terdapat tiga kemungkinan berkaitan cecair yang disuntik ke dalam tubuh anaknya, sama ada bahan berbahaya seperti dadah atau racun, bahan bersifat virus seperti hepatitis atau HIV atau sekadar cecair kosong.

“Alhamdulillah, keadaan anak saya baik dan sudah pulang dari hospital.

“Malah, dia hadir ke sekolah seperti biasa hari ini tetapi perlu jalani beberapa ujian kesihatan dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan dalam tempoh 24 jam pertama adalah memastikan tiada dadah atau racun dalam suntikan tersebut.

Katanya, ujian darah sedang dijalankan dan keputusan penuh dijangka mengambil masa beberapa bulan.

Rafizi turut mendakwa bahawa insiden ini mungkin berkait dengan cubaan menutup mulutnya berhubung satu skandal yang sedang disiasat, selepas menerima maklumat daripada sekumpulan pemberi maklumat minggu lalu.

“Saya tidak menolak kemungkinan ini ada kaitan dengan usaha menakut-nakutkan saya daripada terus menyiasat satu skandal yang sedang saya teliti,” ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa semua bukti termasuk mesej ugutan dan nombor telefon penghantar telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Semalam, polis mengesahkan insiden serangan terhadap anak Rafizi berlaku sekitar pukul 2 petang di Putrajaya.

Mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal, namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bahan yang digunakan serta motif serangan.

Anda Mungkin Berminat