PETALING JAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menegur calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli agar memberi fokus kepada dasar dan tawaran kepada anggota parti, bukan bermain retorik yang boleh mencemarkan proses Pemilihan Parti 2025.
Saifuddin meluahkan rasa kesal atas tindakan Rafizi yang didakwa menyeret kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden dan Setiausaha Agung dalam isu ketidakhadirannya ke mesyuarat tertentu.
Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan kempen.
“Saya tidak pasti apakah sebenarnya niat Datuk Seri Rafizi apabila melibatkan Presiden dan Setiausaha Agung dalam isu ini.
“Rafizi sendiri tahu dan semua orang juga maklum bahawa salinan surat tersebut turut disampaikan kepada dua individu lain.
“Saya yakin surat itu kemudiannya dikongsikan di beberapa medium tertentu sebagai makluman mengenai ketidakhadiran beliau dan daripada situlah ia mula menjadi perbincangan umum.
“Justeru, saya merasakan adalah tidak adil untuk isu ini dijadikan modal kempen dalam Pemilihan Parti 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Rafizi meluahkan kekesalan apabila kandungan surat sulit yang dihantarnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Dr Fuziah Salleh bocor kepada umum.
Menurutnya, surat tersebut yang menyatakan hasratnya untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita bersifat peribadi dan tidak seharusnya dijadikan bahan serangan politik dalaman.
Saifuddin berkata, perkara itu tidak wajar diperbesar sehingga mencetuskan persepsi negatif mengenai perpaduan dalam parti.
Sebagai calon bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), beliau menggesa agar tumpuan diberikan kepada penyampaian visi serta tawaran kepada ahli untuk penggal tiga tahun akan datang.
“Media kini dipenuhi dengan retorik yang menggambarkan seolah-olah parti sedang berpecah-belah dan menuju kehancuran, sedangkan hakikatnya tidak begitu,” ujarnya.
Menurutnya, sokongan akar umbi terhadap parti kekal utuh berdasarkan pengalaman beliau menghadiri sesi himpunan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan positif.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru semua calon dan anggota parti agar menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan isu berbangkit demi menjaga keharmonian dan integriti pemilihan.
“Saya menyeru agar semua pihak kembali kepada meja rundingan dan menggunakan saluran dalaman parti sekiranya ada perkara yang menimbulkan rasa tidak senang.
“Insya-Allah, anggota akan membuat pilihan yang terbaik pada hari Jumaat nanti,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataannya, Saifuddin mengingatkan bahawa tiada kemenangan yang dijamin dalam pemilihan ini dan setiap pihak harus bersaing secara berhemah.