PETALING JAYA: Pada malam tadi, ketika program audio siar Yang Bakar Menteri (YBM): Yang Berhenti Menteri? kelolaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berlangsung, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen tidak kelihatan dalam acara tersebut.
Rafizi secara berseloroh berkata bahawa Wong Chen mungkin sedang bercuti.
Namun, sebaliknya, beliau menghadiri acara Perarakan Hari Wesak Ti-Ratana anjuran Sukkha Dama School di Kota Anggerik.
Dalam hantaran di Facebook beliau, Wong Chen berkata, itu merupakan kali ketiga beliau menghadiri acara tahunan itu yang turut dihadiri oleh Ketua Paderi Buddha Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana.
“Selama bertahun-tahun menghadiri pelbagai acara bersama Ketua Paderi, beliau sudah menjadi sahabat peribadi.
“Lawatan terbaru saya ke Borobudur mungkin juga telah menghidupkan lebih banyak falsafah dan kebijaksanaan Buddha dalam diri saya, sebagai panduan dalam menghadapi cabaran politik dan kehidupan,” ujar Wong Chen.
Beliau turut menyifatkan perarakan Wesak itu sebagai acara yang ‘fantastik dan penuh spiritual’ dan lebih bermakna dengan keberkatan yang diberikan oleh Ketua Paderi.
Wong Chen dijadualkan menghadiri tiga lagi acara Wesak dalam tempoh dua hari berikutnya.
Pimpinan PKR yang turut kelihatan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.