Rafizi Sindir PAS, ‘ Salah Tunggang, Nampak Bangang’

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar sikap bercelaru PAS berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Menurut Rafizi, dalam tempoh seminggu sahaja, PAS menunjukkan tiga pendirian berbeza, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kejujuran dan ketegasan parti itu dalam mempertahankan prinsip keadilan.

“Mula-mula Tuan Ibrahim Tuan Man letak syarat, saya kena turun ke himpunan mereka dahulu sebelum PAS sokong cadangan saya.

“Lepas kena kecam, Fadhli Shaari kata itu bukan pendirian PAS dan sebenarnya mereka menyokong.

“Sehari kemudian, Syafiuddin Hassan pula ubah nada, kata pembangkang tolak cadangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi menyifatkan perubahan pendirian yang terlalu pantas sebagai mengelirukan dan mencerminkan sikap politik PAS yang menurutnya bersedia berubah mengikut suasana, asalkan memberi pulangan politik.

“Dalam seminggu, PAS berubah pendirian tiga kali. Ini mirip kepada kebolehan menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan boleh tunggang,” sindir beliau.

Beliau berkata, isu kebebasan badan kehakiman sepatutnya menjadi perjuangan bersama tanpa mengira kedudukan politik.

Namun, katanya, pembangkang kini lebih cenderung mengejar kuasa semula.

“Akhirnya yang bersuara adalah ‘backbencher’ kerajaan.

“Pembangkang pula hanya fikir soal tebuk atap supaya boleh jadi menteri balik,” katanya.

Rafizi turut memberi amaran kepada PAS agar tidak terlalu ghairah menunggang isu tanpa asas kerana ia boleh memakan diri.

“Tapi hati-hati. Kalau PAS salah tunggang, nanti nampak bangang,” katanya, sinis.

Cadangan penubuhan RCI mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, manakala blok pembangkang pula menunjukkan reaksi berbelah bahagi sehingga mencetuskan kritikan dalam kalangan rakyat.

Anda Mungkin Berminat