PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kempen beliau dalam pemilihan parti itu.
Katanya yang telah mengendalikan banyak kempen politik sebelum ini, namun tidak pernah melihat begitu ramai rakyat biasa lantang menyokong dan membina naratif kempen tetapi disusuli kekalahan.
“Oleh itu, saya terhutang budi yang amat besar kepada rakyat Malaysia biasa yang menyokong kempen saya. Terima kasih yang tidak terhingga, hanya Allah yang dapat membalas kebaikan semua.

“Saya tidak mahu meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan. Sejak kempen bermula, saya mengambil pendekatan telus dan lantang dalam menyuarakan kebimbangan saya terhadap pelbagai isu: daripada perubahan kepada sistem pengundian satu ahli satu undi, kepada integriti sistem pengundian digital, sehinggalah kepada sikap sambil lewa dalam menyelesaikan isu-isu ini.
“Saya faham rasa kecewa dan putus asa di kalangan ahli biasa PKR dan penyokong. Kita memerlukan masa untuk pulih dari perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia,” kongsinya di media sosialnya pada Sabtu.
Rafizi turut berkongsi mengenai perjalanan hidupnya daripada dunia korporat sehingga ke karier politiknya sehingga kini.
“Saya juga manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama, walaupun seketika. Hampir separuh usia dewasa saya, lebih tepat, hampir 27 tahun, telah saya curahkan kepada perjuangan ini: daripada menggerakkan Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar, menyertai kepimpinan awal Pemuda Keadilan, hinggalah menulis sebuah buku untuk menerangkan kes mahkamah Anwar Ibrahim kepada orang awam.
“Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik pada usia yang muda, atas permintaan Anwar, untuk menjadi Ketua Staf beliau di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
“Sehingga kini, saya telah mengharungi 16 kes mahkamah: 7 jenayah dan 9 saman sivil, kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam. Mungkin saya menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa.
“Saya pernah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguhkan dan diganti dengan bon berkelakuan baik) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana peranan saya dalam mendedahkan skandal 1MDB.
“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi,” katanya lagi.
Ujar Rafizi, beliau terjebak di dalam gerakan reformasi (sebelum pun PKR dilancarkan) kerana idealisme dan mahu melihat perubahan kerajaan secara demokratik.
“Saya percaya rakyat berhak mendapat pasukan terbaik untuk mentadbir negara. Persaingan mengangkat merit dan memaksa ahli politik lebih bertanggungjawab. Ia adalah penawar kepada budaya rasuah yang berleluasa di kalangan ahli politik kerana mereka boleh dihumban dari kuasa.
“Saya mahu melihat sebuah Malaysia yang majmuk dan progresif kerana kita adalah sebuah negara kecil. Masyarakat majmuk membuka fikiran kita untuk bersaing secara sihat. Ia membolehkan kita belajar antara satu sama lain supaya kita menggarap budaya kerja terbaik,” katanya.
Rafizi yang menyertai PKR berkata ia bukan demi jawatan atau kedudukan Menteri, apatah lagi membina kekayaan. Bagaimanapun, beliau percaya, pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal.
“Saya kekal dalam PKR selama 27 tahun, lebih lama daripada ramai perintis dan tokoh parti yang lebih kanan, kerana saya percaya PKR baru berlari anak. Walaupun kita telah menyumbang dalam memberi pencerahan dan mematangkan masyarakat Malaysia, kita masih jauh daripada mencapai matlamat yang dijanjikan idealisme itu.
“Saya tidak pernah percaya bahawa memegang jawatan dalam kerajaan adalah satu-satunya cara untuk mencapai matlamat itu. Masyarakat mesti berubah lebih cepat daripada kerajaan untuk merealisasikan sebuah Malaysia yang majmuk dan progresif – cita-cita kita yang masih dalam pembikinan.
“Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahankan idealisme ini sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya. Cita-cita reformasi sebenarnya masih ada harapan,” katanya.
Beliau turut tersentuh melihat beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa beliau meninggalkan dewan, sambil merayu agar tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik, cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu. Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.
“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini.
“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima.
“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti redha dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita,” katanya.
Terdahulu, Nurul Izzah diumumkan pemenang dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR dengan 9,803 undi manakala Rafizi pula memperoleh 3,866 undi.
Nurul Izzah dilihat sebagai calon pilihan untuk jawatan itu selepas lebih 200 daripada 222 PKR bahagian menyatakan sokongan kepadanya.