Rahman Dahlan Tolak Pencalonan, Beri Laluan Muka Baharu di DUN Tempasuk

KOTA BELUD : Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, memutuskan untuk tidak meneruskan pencalonannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

Dalam kenyataan hari ini, Abdul Rahman berkata beliau telah memaklumkan keputusan itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menyatakan hasrat untuk memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan dari Kota Belud bagi mewakili parti.

“Saya telah memberitahu YAB Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baru dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk,” katanya.

Abdul Rahman, yang pernah bertanding tiga kali di kerusi Parlimen Kota Belud, masing-masing pada tahun 2013, 2018 dan 2022 berkata walaupun kalah sekali, UMNO tetap mengekalkan sokongan majoriti di kawasan DUN Tempasuk dalam setiap pilihan raya tersebut.

Beliau yakin anak tempatan dari UMNO Kota Belud mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan cemerlang, dan menegaskan akan terus membantu parti dalam kapasiti lain selaras dengan peranannya dalam kepimpinan negeri dan pusat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada parti dan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang telah mengumumkan pencalonan saya pada 9 November lalu, serta kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat