PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh rakyat agar menolak budaya kebencian, politik sempit dan amalan yang menghakis perpaduan negara.
Beliau menekankan bahawa Malaysia mesti dibina atas landasan nilai, bukan sekadar angka ekonomi.
“Negara sedang mengharungi zaman yang serba mencabar, baik dari aspek ekonomi global yang terus tidak menentu selain ancaman dalaman yang menghakis sendi perpaduan dan nilai bangsa,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap budaya buli yang meresap dari sekolah hingga ke tempat kerja serta politik yang memperdagangkan tragedi demi laba murahan.
“Mutakhir ini, kita menyaksikan wujudnya unsur-unsur negatif dan percubaan untuk mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama, budaya buli yang meresap dari sekolah hingga ke tempat kerja, malah politik yang rendah nilai yang tanpa segan silu memperdagangkan nyawa dan tragedi orang lain demi meraih laba murahan.
“Ini yang saya sebut sebagai membina istana di atas pusara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri dalam menghadapi ancaman terhadap keharmonian negara.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tanpa nilai adalah kejayaan yang kosong dan kontang makna.
“Negara yang kita dambakan tidak hanya berdiri dan berpaksi pada angka pelaburan dan pertumbuhan semata, tetapi mesti utuh di landasan akhlak, adab dan perikemanusiaan.
“Pertumbuhan ekonomi tanpa nilai hanya kejayaan yang kosong dan kontang makna,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang mengugut, menghasut atau menabur kebencian akan berdepan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.
Dalam konteks demokrasi, Anwar menyeru agar kebebasan bersuara tidak disalah guna untuk memecah-belahkan masyarakat atau merendahkan maruah sesama rakyat.
“Demokrasi menjamin serta memberi ruang untuk kebebasan bersuara tetapi ia bukan lesen untuk memecah-belah atau merendah-rendahkan maruah orang lain.
“Kedudukan majoriti bukan untuk menindas, begitu juga minoriti tidak berhak mengeksploit isu-isu tertentu dengan matlamat mencabar asas keharmonian negara,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia mesti kekal sebagai negara hukum dan setiap kes perlu disiasat secara adil, telus dan berlandaskan fakta.
Anwar turut mengangkat peranan perkhidmatan awam sebagai tonggak perpaduan dan kemajuan negara.
“Saya tekankan juga perpaduan tidak akan terjelma tanpa perkhidmatan awam yang teguh, mantap dan cekap.
“MAPPA XX menjadi wadah untuk saya suguhkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang setia mendukung agenda kenegaraan,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan tambahan skim saraan tertinggi sejak Merdeka yang telah memanfaatkan ratusan ribu penjawat awam termasuk pelbagai insentif baharu untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan kesejahteraan.
Anwar menzahirkan keyakinan bahawa penghargaan ini akan dibalas dengan khidmat yang lebih cemerlang dan berintegriti, demi membawa Malaysia ke mercu kejayaan.
“Saya percaya penghargaan ini akan dibalas dengan khidmat yang lebih padu, cemerlang dan berintegriti, demi membawa Malaysia ke mercu ketinggian.
“Seluruh kejayaan yang telah tercatat setakat ini termasuk di pentas dunia melibatkan usaha damai serantau dan pengiktirafan antarabangsa, adalah hasil kerjasama erat antara kepimpinan negara dan perkhidmatan awam yang berwibawa,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat untuk bersama mempertahankan keamanan, melonjakkan ekonomi dan memperkukuh nilai bangsa.