LONDON: Raja Britain, Raja Charles III menyuarakan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir yang melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara, baru-baru ini.
Negara-negara yang terjejas termasuk India, Malaysia, Sri Lanka, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Baginda dan isteri telah berkongsi mesej di akaun Instagram rasmi, menyatakan bahawa baginda berdua ‘sangat sedih apabila mengetahui tentang kemusnahan yang disebabkan oleh ribut yang dahsyat’.
Mesej itu turut menekankan kerosakan teruk terhadap kediaman, infrastruktur dan komuniti.
Raja Charles turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Baginda juga menitipkan doa kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan kepada individu yang masih menunggu khabar tentang ahli keluarga yang hilang.
Dalam mesej tersebut, baginda memuji keberanian petugas kecemasan.
Baginda turut menghargai usaha para sukarelawan dan pekerja bantuan yang memberikan sokongan penting dalam saat genting ini.
Baginda menyifatkan kerja mereka sebagai ‘amat berani’ dan penting dalam usaha pemulihan.
Raja Charles turut menyentuh kesan alam sekitar akibat bencana itu.
Baginda bertitah kejadian seperti itu mengingatkan kita semua tentang ‘keperluan yang semakin mendesak untuk memulihkan keseimbangan dan keharmonian Alam Semula Jadi’.








