Raja Muda Selangor Sertai Regatta Antarabangsa RMSIR Edisi Ke-35

PETALING JAYA: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kini menyertai Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-35, sebuah kejohanan berprestij yang menghimpunkan pelayar tempatan dan antarabangsa di perairan Malaysia.

Baginda berlayar bersama kru kapal layar Maduzi dan telah menamatkan perlumbaan pembukaan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor, sebelum meneruskan cabaran seterusnya menuju ke Pulau Pinang.

RMSIR yang berlangsung dari 14 hingga 22 November 2025 itu mengekalkan tradisi laluan klasik merentasi Pelabuhan Klang, Pangkor, Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan menjadikannya antara regatta paling mencabar di rantau ini.

Kejohanan Diraja itu bukan sahaja menjadi medan persaingan sengit, malah turut dikenali sebagai kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan dianggap antara yang paling sukar di Asia Tenggara.

Lebih istimewa, RMSIR merupakan cetusan idea DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika Baginda bergelar Raja Muda, sekali gus menjadikan regatta ini simbol warisan maritim dan kebanggaan negeri Selangor.

Anda Mungkin Berminat