PETALING JAYA: Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menghadiri sesi menembak bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Sesi eksklusif itu berlangsung di Istana Mestika, Shah Alam pada Ahad, atas jemputan peribadi Raja Muda Selangor.
Menerusi hantaran di Facebook Kerajaan Negeri Pahang, hari ini, turut memaklumkan keberangkatan baginda ke sesi tersebut adalah atas jemputan Raja Muda Selangor sendiri.
Sepanjang sesi berlangsung, kedua-dua putera raja berpeluang berkongsi kemahiran dan pengalaman dalam aktiviti menembak, selain bertukar pandangan mengenai hal ehwal negeri masing-masing dalam suasana mesra dan penuh hormat.
Menariknya, kedua-dua baginda merupakan alumni Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK) iaitu sebuah institusi ketenteraan berprestij yang melahirkan ramai pemimpin dunia.








