Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke ‘The Symphony of Friendship 2.0’, Muzik Satukan Dua Negara

KUALA LUMPUR: Malam di Dewan Filharmonik Petronas malam tadi menyaksikan satu perayaan persahabatan serantau apabila KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke konsert ‘The Symphony of Friendship 2.0’, sebuah acara yang meraikan hubungan erat Malaysia dan Singapura.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Raja Dihilir Perak DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta Raja Puan Muda Perak DYAM Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut penuh hormat oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Mantan Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong, Datin Paduka Ho Ching.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamudin Abd Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Temasek Singapura, Ng Boon Heong.

Konsert edisi kedua itu hasil kerjasama YRZSNJ dan Yayasan Temasek bagi meneruskan legasi yang bermula pada 2023 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.

Tahun ini, pentas DFP menjadi saksi persembahan inklusif yang menggabungkan Malaysia Philharmonic Youth Orchestra (MPYO), pemuzik Kementerian Pendidikan Malaysia, serta The Purple Symphony dari Singapura.

Penampilan istimewa Jaclyn Victor, Nadeera dan Suki Low menambah seri malam yang penuh simbolik itu.

Raja Permaisuri Agong bertitah, konsert itu bukan sekadar persembahan seni tetapi lambang hubungan dua negara yang terus diperkukuh.

“Konsert ini adalah lambang kepada kerjasama, persahabatan dan perkongsian matlamat yang kukuh dan berkekalan.

“Kita meraikan keupayaan menakjubkan bidang muzik untuk menyatupadukan masyarakat serta memupuk persefahaman yang lebih mendalam antara kedua-dua negara,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran, namun seni tetap menjadi jambatan kemanusiaan.

“Kita semua sedar tentang ketidak tentuan, bencana alam semula jadi serta konflik-konflik yang membelenggu pelbagai rantau di dunia.

“Namun muzik, yang tidak terikat kepada bangsa, kaum, pangkat atau latar belakang, mampu menyentuh dan mengingatkan kita semua tentang nilai-nilai kemanusiaan,” titah Raja Permaisuri Agong.

Anda Mungkin Berminat