KUALA LUMPUR: KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menghadiri persidangan antarabangsa bertemakan ‘Tradisi Saintifik dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran’.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, persidangan berprestij itu akan berlangsung di Center of Islamic Civilisation dan dijangka menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada cendekiawan, pemikir serta negarawan dari seluruh dunia.
Seri Paduka Baginda, yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dijadual menyampaikan titah ucapan Diraja pada 5 Mei ini, sekali gus menegaskan peranan Malaysia dalam memperkasa tradisi saintifik Islam di peringkat global.
Turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, selain Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani bersama isteri, Puan Sri Datin Dr Nor Azizah Abdul Latif serta Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke Uzbekistan pagi tadi bermula dari Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Persidangan itu dijangka menjadi platform penting dalam membincangkan sumbangan tradisi saintifik Islam serta cabaran semasa dalam memperkukuh peranannya di pentas antarabangsa.








