ISTANBUL: Suasana penuh bersejarah menyelubungi limbungan Istanbul Shipyard apabila KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan Majlis Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal KD Tunku Laksamana Abdul Jalil, kapal pertama daripada siri Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kapal itu dinamakan sempena Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, sebagai tanda penghormatan terhadap keberanian, ketabahan, dan semangat juang Almarhum yang terus hidup dalam ingatan rakyat Johor dan Malaysia.
Reka bentuk kapal berasaskan korvet moden ‘ADA Class’ hasil kejuruteraan syarikat STM Turkiye, menjadikan KD Tunku Laksamana Abdul Jalil aset tempur terkini TLDM dengan keupayaan operasi pelbagai dimensi.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong disambut mesra oleh Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye, Musa Heybet serta Timbalan Setiausaha Perindustrian Perancangan Strategik, Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye, Profesor Ihsan Kaya.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Majlis turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Abdul Hadi Omar serta Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.
Dalam titah, Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan mendalam atas penamaan kapal tersebut.
“Penamaan kapal ini dengan nama Jalil membawa makna yang besar kepada keluarga kami, buat saya dan suami selaku ibu bapa serta anak-anak kami selaku adik beradik Almarhum.
“Ia satu penghormatan yang amat kami hargai.
“Semoga kapal ini diberkati dan semua yang berlayar di atasnya akan sentiasa selamat dan dalam perlindungan,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, pelancaran kapal itu membuka lembaran baharu dalam persahabatan lama antara Johor dan Turkiye, hubungan yang telah terjalin sejak era pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1860-an.
Untuk info, pembinaan LMSB2 itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertahanan negara, malah menjadi bukti kerjasama strategik yang berkesan antara Malaysia dan Turkiye khususnya dalam aspek pemindahan teknologi maritim.








