PETALING JAYA: Dalam dunia yang semakin dipacu oleh inovasi dan teknologi, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru agar rakyat Malaysia tidak melupakan asas penting dalam membina tamadun iaitu adab.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa setiap bentuk kemajuan yang dicapai oleh negara mesti dipandu oleh nilai-nilai murni termasuk kejujuran, keadilan dan tanggungjawab.
“Setiap kejayaan besar daripada kemajuan hendaklah hadir bersama persoalan yang berpanjangan tentang kebenaran, autoriti yang berhak dan keadilan.
“Apa jua bentuk kemajuan yang kita capai, ia mesti dipandu oleh adab,” titah Raja Permaisuri Agong.
Titah diraja itu disampaikan semasa Majlis Perasmian Festival Idea Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Raja Zarith Sofiah turut menekankan kepentingan adab dalam penggunaan media sosial, yang kini menjadi medium utama interaksi masyarakat.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bertitah, malah sarjana Islam turut mengingatkan untuk mengamalkan adab dalam segala urusan dan dalam setiap aspek kehidupan.
Dalam konteks teknologi masa kini, termasuk kecerdasan buatan (AI), Baginda menyeru agar etika dan martabat manusia terus dijadikan teras utama selaras dengan rangka kerja yang diperkenalkan oleh UNESCO.
Selain itu, baginda turut menyeru untuk mengamalkan etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), mengikut rangka kerja yang diperkenalkan UNESCO iaitu menegakkan martabat manusia sebagai teras utama.








