Raja Permaisuri Agong Titah Pendidikan, Kesihatan Teras Kemakmuran Negara

PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan komitmen mendalam terhadap pembangunan inklusif negara dengan bertitah bahawa pendidikan dan kesihatan adalah asas kemakmuran yang sebenar.

Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Persidangan Impak Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) 2025 yang berlangsung di ibu negara pada Isnin, sebagai sokongan kepada usaha mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Pengerusi Yayasan MySDG, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib serta Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dalam titah perasmian, Seri Paduka Baginda menyeru agar prinsip teras Agenda 2030 Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan secara menyeluruh demi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus kemajuan.

“Pendidikan ialah kunci utama masa depan kerana ia bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membentuk nilai, empati dan integriti dalam diri setiap insan,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda turut bertitah, kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kesihatan rakyatnya.

Justeru titah baginda, akses kepada penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan adil perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.

“Kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada rakyat yang sihat,” titah Baginda, menyeru agar sistem kesihatan negara terus diperkasa demi kesejahteraan bersama.

Dalam semangat inklusiviti, Seri Paduka Baginda turut menyeru agar golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, komuniti Orang Asli, golongan miskin bandar dan luar bandar, wanita, kanak-kanak serta belia diberi peluang dan harapan untuk maju seiring dengan pembangunan negara.

Baginda juga menggalakkan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan pihak filantropi untuk bersama-sama mencapai matlamat pembangunan mampan.

Persidangan berprestij itu turut menampilkan pembentangan oleh tokoh antarabangsa, termasuk Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Prof Jeffrey D. Sachs dan Pengarah Eksekutif Pusat Sunway bagi Kesihatan Planet, Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang berkongsi pandangan tentang cabaran dan peluang dalam mencapai SDG.

Untuk info, Yayasan MySDG ditubuhkan sebagai pemacu utama dalam mempercepat kemajuan Malaysia ke arah pembangunan mampan yang inklusif, adil dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat