Raja Permaisuri Agong Titah, Suara Wanita Diangkat Dalam Dasar Negara

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah agar suara wanita Malaysia didengari dan diambil kira dalam penggubalan dasar serta proses membuat keputusan di peringkat tertinggi negara.

Titah penuh semangat itu disampaikan sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-64 yang dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) di ibu negara, dengan tema ‘Menghargai Wanita dalam Pembangunan Negara’.

“Untuk benar-benar menghargai wanita dalam usaha membangunkan negara ini, kita mesti mengambil langkah proaktif bagi memanfaatkan potensi intelek yang tersembunyi dalam diri wanita,” titah Baginda.

Baginda turut merujuk kepada Laporan Indeks Jurang Gender Global 2022 oleh Forum Ekonomi Dunia, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-103 daripada 146 negara.

Sebagai perbandingan, Singapura berada di tangga ke-49, Thailand ke-79 dan Indonesia di kedudukan ke-92.

“Jika kita benar-benar mahu menghargai wanita dalam pembangunan negara, kita perlu mengejar kemajuan seperti negara jiran dan membuktikan bahawa suara serta pandangan wanita didengari di peringkat tertinggi serta diambil kira dalam penggubalan dasar dan semua keputusan penting.

“Menghargai wanita dalam pembangunan negara bermakna memastikan suara kita didengari,” titah Raja Zarith Sofiah.

Dalam titah yang menyentuh hati, Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wira-wira harian wanita di seluruh Malaysia iaitu golongan yang sering tidak tercatat dalam sejarah tetapi menjadi tulang belakang keluarga dan masyarakat.

“Mereka yang membesarkan anak-anak, merawat warga emas dan yang sakit, bertungkus-lumus di ladang, menjalankan perniagaan, mendidik generasi, menjaga komuniti dan memastikan keluarga mereka memiliki rumah yang selesa.

“Mereka mungkin tidak selalu tercatat dalam buku sejarah kita, namun mereka memainkan peranan yang amat penting, tidak ramai lelaki yang mampu mencapai kejayaan tanpa pengorbanan seorang ibu atau isteri,” titah Baginda lagi.

Anda Mungkin Berminat