PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Inisiatif Rakan KKM sebagai langkah strategik untuk mengekalkan tenaga mahir kesihatan negara, di tengah cabaran penghijrahan pakar perubatan ke luar negara akibat beban kerja tinggi dan tawaran lebih kompetitif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong di Dewan Negara pada Rabu berkata, Malaysia tidak boleh terus kehilangan kepakaran kritikal dalam sektor kesihatan.
“Sejak kembali menerajui KKM, antara cabaran utama yang saya tekankan ialah keperluan mengekalkan tenaga mahir kesihatan termasuk pakar, pegawai perubatan dan jururawat.
“Tekanan beban kerja serta tawaran lebih kompetitif di luar negara mendorong penghijrahan tenaga profesional ini.
“Malaysia tidak boleh terus kehilangan kepakaran kritikal ini,” katanya.
Untuk info, inisiatif Rakan KKM diwujudkan sebagai platform baharu yang membolehkan petugas kesihatan kekal dalam perkhidmatan awam, sambil diberi peluang mengembangkan kepakaran dengan imbuhan setimpal.
Dr Dzulkefly menegaskan komitmen terhadap pesakit awam tetap menjadi keutamaan dengan perkhidmatan di bawah Rakan KKM hanya dijalankan melalui temujanji khusus tanpa menjejaskan waktu rawatan awam.
Menurut beliau, fasa pertama akan dilaksanakan oleh Rakan KKM Sdn. Bhd. (RKSB) dengan kawal selia penuh KKM dan peruntukan awal sebanyak RM25 juta.
Hospital Cyberjaya dipilih sebagai fasiliti pertama, melibatkan perkhidmatan Ortopedik dan Perubatan Dalaman.
Pelaksanaan awal merangkumi pelesenan 20 katil, empat katil rawatan harian, satu bilik pembedahan dan dua Klinik Pakar.
Tarikh mula operasi akan ditetapkan selepas semua proses pelesenan di bawah Akta 586 serta pemuktamadan perjanjian operasi disempurnakan.
“KKM akan memastikan pelaksanaan Rakan KKM berjalan secara telus, berakauntabiliti dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta petugas kesihatan negara,” tegas beliau.








