PUTRAJAYA: Masjid perlu diimarahkan dengan jiwa anak muda melalui pelaksanaan Inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, naratif pengimarahan masjid tidak boleh lagi terbatas kepada peranan tradisional, sebaliknya harus dibugarkan dengan tenaga baharu yang memberi ruang kepada anak muda sebagai pelapis pentadbiran.
“Kita mahu melihat anak muda mengambil peranan sebagai pelapis pentadbiran masjid.
“Tugas dan peranan kepada anak muda tidak semestinya sekadar melipat sejadah atau menyusun meja sekiranya ada apa-apa majlis.
“Tetapi peranan orang muda hendaklah diperluaskan bagi memastikan keterlibatan mereka mampu memacu profesionalisme dan kemampuan masjid itu sendiri lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang sedang giat memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran masing-masing,” katanya.
Ucapan itu disampaikan seusai pelancaran rasmi inisiatif berkenaan di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya.
Beliau berkata, masjid harus menjadi hab komuniti yang menterjemahkan rasa kepunyaan khususnya dalam kalangan anak muda.
“Ruang masjid harus dibuka dengan mengimarahkan lagi aktiviti belia, perbincangan ilmu, kesukarelawanan serta pusat kecemerlangan sosial merangkumi sepuluh gaya hidup yang berada di bawah inisiatif terbabit,” katanya.
Beliau turut menyeru agar bulan Ramadan dijadikan momentum terbaik untuk menggerakkan tenaga belia dalam pelbagai aktiviti seperti iftar, moreh, tadarus al-Quran dan menyantuni asnaf di kariah masing-masing.
“Raikanlah bulan mulia ini dengan tenaga orang muda baik dari persiapan iftar, moreh, tadarus al-Quran, hinggalah kepada santuni asnaf di kariah masing-masing,” katanya.
Menteri Agama itu berkata, inisiatif itu tidak boleh terhenti sekadar pelancaran semata-mata.
“Saya tidak mahu rakan-rakan muda masjid terbabit hanya gah pada nama, indah di sebalik nan logo atau terhenti sekadar majlis pelancaran itu sahaja.
“Sebaliknya, usaha itu mesti diterjemahkan menerusi gerak kerja yang bersungguh-sungguh, tersusun dan berterusan dengan semangat istiqamah agar benar-benar memberi manfaat kepada institusi masjid dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut menyeru agar Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh negara membuka pintu seluas-luasnya kepada anak muda, memberi kepercayaan dan bimbingan penuh kepada mereka.
“Raikan idea-idea segar mereka. Jangan matikan semangat mereka dengan birokrasi yang merumitkan.
“Semoga usaha sinergi antara agensi agama dan KBS ini mendapat redha Allah SWT dan menjadi asbab kepada lahirnya generasi Al-Fatih moden di Malaysia,” katanya lagi.
Untuk info, inisiatif itu akan dilaksanakan di 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan serta 113 daerah di seluruh negara.
Seramai 5,800 peserta terlibat di peringkat negeri, manakala 14,690 peserta dijangka menyertai di peringkat daerah.








