Rakyat B40 sambut baik amanat tahun baharu PM

PUTRAJAYA: Tahun 2025 menjadi semangat kepada penduduk di seluruh dunia, untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupan masing-masing.

Tidak kurang juga para pemimpin di setiap negara sudah pasti mahukan perubahan lebih baik demi pembangunan dan kesejahteraan setiap rakyat jelata.

Pada malam ambang tahun baharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi amanatnya mengumumkan bahawa, kerajaan kekal menaikkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya pada tahun 2025.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan, kerajaan giat menangani kenaikan kos sara hidup melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.

Malah, katanya, kerajaan juga memberi jaminan bahawa, segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa terjejas dengan segera dan akan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan yang berisiko tinggi.

Tumpuan lain adalah kepada prasarana asas seperti jalanraya, lebuhraya dan bekalan.

Malaysia Bangkit tampil turun padang membuat tinjauan mengenai respons rakyat berhubung amanat tersebut, di Festival Light & Motion Putrajaya (LAMPU2024), dekat Dataran Putrajaya pada malam ambang tahun baharu.

Nurshahada

Bagi, Nurshahada Abd Jalil, 29, dia mengharapkan kerajaan agar menawarkan lebih sumbangan bantuan sara hidup kepada golongan B40.

Pekerja swasta itu berkata, keperluan seperti bantuan awal persekolahan dan bakul makanan amat diperlukan untuk golongan berpendapatan rendah.

“Saya juga berharap agar kerajaan dapat menaikkan kadar gaji mininum daripada RM1,500 kepada RM2,000 hingga RM2,500 sebulan. Saya rasa ia sudah cukup memadai,” kata ibu kepada dua anak itu.

Nik Nurfarisha

Sementara itu, Nik Nurfarisha Amira berkata, amanat Perdana Menteri yang paling bermanfaat buat dirinya sebagai pelajar adalah penganjuran Program Payung Rahmah.

Nik Nurfarisha, 20, yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam berkata, tidak semua individu berkemampuan untuk makan di restoran serta kafe yang menawarkan harga mahal.

Oleh itu, katanya, Program Payung Rahmah itu boleh mengurangkan kos perbelanjaan bulanannya.

“Di universiti, harga makanan paling minimum adalah sebanyak RM6 untuk sekali makan. Namun, hanya kolej (hostel) saya yang menawarkan harga tersebut.

“Sementara di kolej lain pula harga makanan mencecah RM11 untuk sekali makan. Bagi pelajar, harga lebih RM10 sudah dikira mahal dan saya harap penjualan dalam universiti boleh tawarkan harga makanan khas buat pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nurfarisha turut berharap agar kerajaan menawarkan baucar sara hidup kepada para pelajar selain baucar buku bernilai RM100.

“Saya juga berharap agar kedai buku menawarkan promosi untuk beli alat tulis.

“Dari segi hiburan adakalanya taman tema menawarkan promosi atau diskaun harga buat pelajar. Saya faham ada pelajar mahu hilangkan stres tapi risau ada yang melampaui batas. Lebih baik promosi tersebut ditawarkan untuk perkara yang sepatutnya,” ujarnya.

Muhammad Rafi

Seorang lagi pelajar, Muhammad Rafi Haikal Mohd Rafli turut memohon kerajaan menyediakan bantuan seperti komputer riba dan alatan sukan untuk memudahkan para pelajar menyiapkan kerja kursus.

Muhammad Rafi,18 yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Sukan di sebuah kolej swasta dekat Bangi, Selangor berkata, adakalanya wang perbelanjaannya tidak cukup menampung kehidupan dan terpaksa melakukan kerja separuh masa sekiranya ada kelapangan.

“Saya risau pelajaran saya turut terjejas dan saya juga mohon kerajaan agar mempertimbangkan elaun kewangan bagi pelajar yang memerlukan.

“Baucar buku RM100 masih tidak mencukupi manakala ada juga keperluan asas yang saya perlukan,” katanya.

Nazir

Peniaga, Nazir Salman berkata, bantuan sara hidup buat rakyat adalah antara terpenting ketika ini selepas bantuan bencana banjir.

Namun, Nazir, 48, berkata, kerajaan perlu memikirkan langkah lain kerana bantuan sara hidup hanya dianggap seperti penyelesaian jangka pendek buat rakyat memerlukan.

“Ini termasuk memantau kenaikan harga secara mendadak bagi barangan dan minyak petrol. Itu antara punca kos sara hidup akan meningkat,” katanya.

Selain itu, Nazir berharap agar kerajaan membanteras gejala rasuah sepenuhnya pada tahun baharu.

Turut mengulas mengenai amanat Perdana Menteri, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Mazilah secara jujurnya menyokong segala inisiatif diputuskan kerajaan.

Mazilah

Mazilah, 43, yakin bahawa setiap keputusan telah dikaji dengan sebaik-baiknya berdasarkan fakta serta data dan bukan dilakukan secara semborono.

“Berdasarkan pengalaman bekerja secara sendiri sebelum ini, saya beranggapan bahawa bukan senang untuk kita melakukan sesuatu keputusan.

“Namun, saya berpendapat bahawa, kerajaan perlu mengkaji semula golongan M40 dan T20 kerana golongan miskin bandar dan miskin kampung adalah berbeza.

“Tetapi, perkara baik yang sudah dilakukan kerajaan lebih baik diteruskan sahaja,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat