Rakyat boleh mula semak kelayakan bantuan MySARA RM100

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia kini boleh mula menyemak kelayakan masing-masing bagi menerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi portal rasmi SARA.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini dan memaklumkan bahawa bantuan sebanyak RM100 akan dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad penerima bermula 31 Ogos depan dan boleh diguna sehingga 31 Disember 2025.

“Setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, lahir pada tahun 2007 dan sebelumnya, layak menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada,” katanya.

Kementerian turut menjelaskan bahawa tiada pendaftaran atau permohonan diperlukan, kerana kelayakan ditentukan secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, bantuan itu boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar yang menawarkan lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori termasuk makanan asas, kebersihan rumah dan diri, ubat-ubatan serta keperluan sekolah.

“Baki bantuan yang tidak digunakan menjelang hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan MADANI yang akan ditentukan kelak,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat