Rakyat Celik Kewangan Penentu Malaysia Lebih Kukuh – Gabenor Bank Negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan membina negara yang kukuh bermula dengan rakyat yang celik dan berdisiplin dalam mengurus kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025 di Sasana Kijang, beliau menekankan bahawa pengetahuan kewangan bukan sekadar kemahiran peribadi tetapi asas kepada kemakmuran negara secara menyeluruh.

“Setiap individu yang lebih celik kewangan menjadi satu lagi batu loncatan menuju Malaysia yang lebih kukuh.

“Setiap keluarga yang berdisiplin dalam mengurus kewangan merupakan batu asas kepada sebuah masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.

Menurut Abdul Rasheed, usaha memperkukuh literasi kewangan memerlukan pendekatan menyeluruh atau ‘whole-of-nation approach’ yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pengawal selia, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendidik dan masyarakat.

Sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan strategi ini, beliau turut mengumumkan penubuhan Pejabat Koordinasi Kebangsaan Literasi Kewangan yang dijangka beroperasi pada Januari tahun depan.

Pejabat itu akan berperanan menyelaras program pendidikan kewangan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“Dengan semangat kebersamaan, saya yakin Malaysia mampu memperkukuh daya tahan kewangan rakyat dan muncul sebagai peneraju serantau dalam agenda literasi kewangan yang progresif serta inklusif,” katanya.

Strategi NS2.0 dirangka berasaskan tiga keutamaan utama iaitu keterangkuman, pendigitalan dan pemantauan bagi memastikan setiap segmen masyarakat mendapat akses kepada pendidikan kewangan yang lebih berkesan dan mudah diakses.

Anda Mungkin Berminat