Oleh: Norman Radzuan
Ketika dunia tertumpu kepada sukan Olimpik, di United Kingdom (UK) masyarakat Islam hidup dalam ketakutan.
Bermula berita palsu perkauman di luar kawalan hingga pelbagai lokasi di England dan Ireland Utara berlaku keganasan sejak beberapa hari lalu. Ia berpunca akibat maklumat salah di media sosial dan kumpulan sayap kanan yang mencetuskan ketegangan.
Apa berlaku di UK tidak banyak bezanya dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia. Bezanya di negara kita masih di bawah kawalan tetapi penceritaan hampir-hampir sama.

Maklumat palsu bertebaran
Keganasan itu berpunca daripada maklumat salah online. Disengajakan untuk mengapi-apikan masyarakat beberapa jam selepas serangan itu berlaku.
Maklumat palsu tentang identiti penyerang dihebahkan dengan menamakan Ali Al Shakati kononnya seorang Islam pendatang dan radikal.
Sedangkan suspek sebenar bernama Axel Rudakubana, dilahirkan di Britain. Kumpulan pelampau mengambil kesempatan mencetuskan kekacauan selepas insiden serangan pisau maut menyebabkan tiga kanak-kanak perempuan berusia lingkungan 6 hingga 9 tahun terbunuh di Southport.
Pelbagai puak dan individu berhaluan kanan, termasuk neo Nazi, peminat bola sepak yang ganas anti Muslim mengambil bahagian dalam keganasan itu yang juga dicetuskan oleh pempengaruh online.
Aktivis sayap kanan menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram dan X untuk menggesa orang ramai melakukan bantahan di jalan-jalan raya.
Akibatnya masjid diserang dan umat Islam di dalam masjid memberitahu mereka seperti terperangkap dalam peperangan kerana begitu banyak objek dilontarkan.
Bukan sahaja masjid, premis-premis perniagaan juga dirosakkan dan polis juga menjadi mangsa serangan. Sehingga artikel ini ditulis bantahan ini semakin kritikal.
Persoalannya kenapa pihak polis Britain sukar mengawal rusuhan ini? Menurut Joe Mulhall, pengarah penyelidikan Hope Not Hate media sosial dan teknologi lain menawarkan cara baru untuk pergerakan aktivisme ini.
Ia disokong oleh seorang profesor Universiti Northampton yang pakar dalam sejarah radikalisme dan ekstremisme. Media sosial berfungsi sebagai alat merekrut kumpulan pelampau.
Polis juga bergelut untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perusuh yang boleh dikumpulkan dalam beberapa jam melalui aplikasi Whatsapp atau mesej peribadi.

Persamaan Malaysia dan UK
Apa mesej daripada kejadian ini? Sebenarnya apa yang berlaku di UK terlalu banyak persamaan dengan negara kita.
Jika di UK ada puak berhaluan kanan sangat anti dengan org Islam begitu juga di negara kita ada puak yang sangat anti dengan kaum lain terutama bangsa Cina.
Walaupun bangsa ini sudah ratusan tahun datang dan telah menjadi rakyat negara ini tetapi kaum Cina sering dijadikan kambing hitam untuk tujuan politik.
Banyak cerita fitnah seperti tidak boleh azan di masjid, Cina mahu menjadi PM (Perdana Menteri) dan sebagainya. Ia sgt bahaya kerana ia cuba mengapi apikan pemusuhan. Namun tiada tindakan tegas kepada pelampau agama tersebut.
Malah api perkauman ini bukan sahaja dimainkan di media sosial saban hari tetapi turut juga diprovokasi oleh ahli parlimen (MP) di Parlimen.
Sebab itu kerajaan jangan peduli dengan tohmahan dan tekanan pembangkang dalam isu 3R. Jangan sampai berlaku peristiwa seperti di UK atau juga seperti sejarah 13 Mei, baru mahu bertindak tegas.
Di UK hanya kerana maklumat palsu untuk mengapi apikan isu perkauman akhirnya UK ketika ini di luar kawalan. Dalam era media sosial maklumat palsu begitu mudah dihebahkan.
Malah tiada bezanya modus operandi di UK dan negara kita. Media sosial seperti Whatsapp, Telegram, TikTok dan FB digunakan untuk mengapi apikan perkauman.
Buat orang Melayu yang mungkin saudara mara atau keluarga anda ada di UK, apa perasaan anda ketika ini. Bimbang akan keselamatan dan tentu berang dengan puak pelampau di sana.
Begitulah juga di negara kita tentu kaum-kaum lain rasa tidak senang dengan sikap puak ekstrimis yang mengapi apikan perkauman dengan menyebarka berita fitnah di media sosial saban hari.
Hingga mahu mengajak umat Islam bersatu hati memprotes tindakan Israel pun ada pemimpin parti politik perangai lebih teruk dari Israel menghasut orang Melayu agar memboikot himpunan tersebut.
Kita doakan keluarga dan nasib umat Islam di sana selamat. Yang membimbangkan maklumat terbaru berita akhbar perdana, apabila anak-anak muda Islam pula keluar bertembung dengan puak pelampau.
*** Penulis adalah bekas pengamal media dan kini menganalisis senario politik tanah air.