Rakyat disaran semak MyKad sebelum nikmati subsidi petrol

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya segera memeriksa cip MyKad bagi memastikan ia berfungsi sebelum pelaksanaan subsidi bersasar harga petrol.

Beliau berkata, MyKad akan digunakan sebagai pengesahan identiti ketika mengisi minyak dan hanya pemilik dengan cip berfungsi boleh menikmati harga subsidi.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau. Anda boleh ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

“Insya-Allah, pembaikan siap pada hari sama. Mudah dan cepat. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan harga petrol RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter hujung bulan ini melalui pelaksanaan subsidi bersasar.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri akan menunaikan janji kepada rakyat Malaysia. Insya-Allah, harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter hujung bulan ini. Walaupun ambil masa sedikit, beliau tetap berpegang pada kata-kata demi rakyat,” katanya.

Saifuddin menegaskan Kerajaan MADANI komited membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Anda Mungkin Berminat