Rakyat Indonesia puji BUDI95, anggap rakyat Malaysia beruntung nikmati petrol murah

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkenalkan skim subsidi petrol bersasar BUDI95 yang menurunkan harga RON95 khusus untuk rakyat bermula 30 September ini, mencuri perhatian warga Indonesia.

Menerusi skim itu, rakyat Malaysia hanya perlu membayar RM1.99 seliter, manakala warga asing dikenakan harga lebih tinggi iaitu RM2.60 seliter.

Setiap rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi bagi 300 liter sebulan, dengan pemandu e-hailing dan teksi boleh memohon kuota tambahan.

Lebih 16 juta penduduk dijangka mendapat manfaat, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan defisit fiskal negara.

“Hebat! Malaysia betul-betul utamakan rakyatnya, harga petrol boleh turun ketika ekonomi dunia tengah mencabar,” kata seorang pengguna X Indonesia, Parewa Varna.

Seorang lagi menulis, “Tahniah kepada Anwar Ibrahim, pemimpin yang berani membuat keputusan untuk rakyat. Semoga Indonesia dapat mencontohi.”

Tidak kurang juga yang membandingkan harga. “Harga RON95 di Malaysia cuma sekitar RM1.99 seliter, kalau di sini mustahil dapat harga sebegitu. Malaysia memang beruntung,” komen Melik Sumanandar.

Turut dikongsikan, “Dasar bijak, rakyat sendiri diutamakan manakala orang asing tetap perlu bayar lebih mahal,” kata seorang lagi pengguna.

Seorang warganet lain, Seni Riyanti, menambah: “Langkah Malaysia melalui BUDI95 sangat tepat. Subsidi tidak lagi terbuka untuk semua, tetapi disasarkan kepada rakyat yang benar-benar layak. Itu strategi bijak untuk lindungi kewangan negara.”

Bagi warga Indonesia, pelaksanaan BUDI95 bukan sahaja meringankan beban rakyat Malaysia, malah dilihat sebagai contoh bagaimana subsidi bersasar mampu membantu tanpa membebankan kewangan negara.

Untuk rekod, di Indonesia, harga petrol jenis Pertalite berada sekitar RM3.10 hingga RM3.70 seliter. Perbandingan itu membuatkan ramai warganet Indonesia meluahkan rasa kagum, malah menyifatkan rakyat Malaysia beruntung mempunyai pemimpin yang mendahulukan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat