Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima limpahan penghargaan daripada rakyat Kemboja susulan kejayaan bersejarah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, baru-baru ini.
Rata-rata pengguna media sosial dari negara jiran itu meluahkan rasa terima kasih atas peranan Malaysia sebagai pengantara yang berjaya membawa kedua-dua negara ke meja rundingan selepas bertahun-tahun pertikaian sempadan.
“Terima kasih, Presiden Trump, atas sokongan terhadap keamanan.
“Terima kasih, Perdana Menteri Anwar, atas peranan anda membina keharmonian antara Kemboja dan Thailand,” kata pengguna Facebook, Seanghay Huort.
Ucapan itu disusuli dengan pelbagai komen penuh emosi daripada rakyat Kemboja yang menyambut baik usaha diplomatik Malaysia.
“Kasih dan hormat dari Kemboja. Terima kasih Malaysia atas kebaikan dan usaha anda.
“Saya akan melawat Malaysia secepat mungkin,” tulis Satya Nhann di ruangan komen.
Manakala Monika Var pula menyatakan rasa syukur yang mendalam.
“Sebagai rakyat Kemboja, saya tidak dapat mengungkapkan rasa terima kasih yang cukup kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia atas usaha gigih dan ikhlas dalam menjayakan perjanjian damai ini. Semoga Malaysia terus diberkati dengan kemakmuran dan kebahagiaan,” katanya.
Gelombang ucapan terima kasih ini mencerminkan penghargaan tulus rakyat Kemboja terhadap komitmen Malaysia dalam mempromosikan keamanan serantau khususnya di bawah kepimpinan Anwar yang menekankan nilai diplomasi, perpaduan dan semangat ASEAN.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang menandakan berakhirnya pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja serta membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara.
Langkah itu turut dilihat sebagai pencapaian penting bagi Malaysia di bawah Kerajaan MADANI, yang semakin mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.








