Rakyat Luah Rasa Syukur, Bantuan Tunai dan Harga Minyak Turun Ringan Beban Hidup

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Pengumuman bantuan RM100, harga RON95 turun dan tol kekal hari ini disambut positif rakyat yang anggap ia langkah tepat dan melegakan golongan berpendapatan rendah serta pekerja harian.

Bagi Norazlina Daud, 34, ibu kepada tiga anak, bantuan RM100 untuk setiap individu dewasa sangat bermakna terutama ketika kos barangan asas semakin meningkat.

“Saya dan suami dua-dua layak. RM200 tu kami boleh guna beli barang dapur, pampers anak. Guna MyKad je. Alhamdulillah, ini pun dah cukup meringankan nanti 31 Ogos,” katanya.

Sementara itu, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter turut disambut baik oleh golongan penghantar makanan dan pekerja gig yang setiap hari bergantung pada kenderaan.

Muhammad Zulfadli, 27, yang bekerja sebagai rider berkata, pengumuman itu membawa sinar baharu kepada ramai yang terkesan dengan kenaikan kos hidup.

“Saya isi minyak hampir setiap hari. Kalau harga turun ke RM1.99, memang banyak beza. Boleh jimat dalam RM50 ke RM100 sebulan. Bagi kami yang kerja atas jalan, ini betul-betul membantu,” katanya.

Bagi warga kota yang berulang-alik menggunakan lebuh raya, penangguhan kenaikan tol turut memberi kelegaan.

Siti Aminah Roslan, 42, pegawai pentadbiran yang tinggal di Rawang dan bekerja di Kuala Lumpur, berkata langkah kerajaan menanggung kos tol membuktikan keprihatinan terhadap rakyat.

“Saya naik MRR2 dan LDP setiap hari. Kalau tol naik, memang terasa sangat. Bila kerajaan kekalkan kadar lama, saya rasa lega. Ini baru kerajaan yang jaga rakyat,” ujarnya.

Perdana Menteri hari ini umum penghargaan kepada rakyat Malaysia, termasuk bantuan RM100 mulai 31 Ogos, harga RON95 turun RM1.99 seliter dan tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan meringankan tekanan kos sara hidup menjelang hujung tahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat