PETALING JAYA: Seruan ‘Turun Anwar’ yang digerakkan segelintir pihak terus menerima kecaman daripada pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menyifatkannya sebagai retorik politik yang gagal memahami realiti semasa dan aspirasi rakyat.
Dalam satu kenyataan, Exco Wanita PKR Pusat, Siti Norffinie Yassin, menolak naratif tersebut sebagai ‘mainan politik yang putus arah dan tidak berpijak pada realiti semasa’, sambil menegaskan bahawa rakyat kini mula merasai hasil kepimpinan yang stabil dan berpandangan jauh.
“Seruan ‘Turun Anwar’ bukanlah suara rakyat. Ia adalah suara kecewa, suara yang hilang arah dan gagal menawarkan sebarang penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, sejak pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, Kerajaan MADANI telah menunjukkan keberanian politik dan iltizam yang jelas dalam membina semula asas ekonomi negara serta memperkukuh institusi.
“Kepimpinan Perdana Menteri (Anwar) adalah kepimpinan yang mendengar, merasai dan bertindak.
“Ini bukan sekadar soal politik, ini adalah amanah serta tanggungjawab moral terhadap masa depan rakyat dan negara,” tambahnya.
Siti Norffinie yang juga Pengarah Strategi Wanita PKR Sabah berkata, beliau sendiri turun padang dan menyaksikan perubahan yang mula dirasai rakyat, walaupun cabaran masih wujud.
Beliau menegaskan bahawa usaha membina masa depan negara yang lebih sejahtera dan inklusif tidak boleh diganggu oleh suara-suara sumbang yang kecewa kerana kehilangan kuasa.
“Kita bukan sekadar bergerak, kita sedang membina dan kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak meruntuhkan asas yang sedang dibina,” katanya.
Kenyataan ini hadir di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini, yang turut dikritik oleh pelbagai pihak sebagai langkah terdesak untuk menggugat kestabilan politik negara.