Rakyat Malaysia boleh mula semak kelayakan BUDI95 hari ini

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seluruh rakyat Malaysia sudah boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang telah dibuka sejak 9 pagi tadi.

Menerusi kenyataan oleh Kementerian Kewangan pada Khamis, semakan boleh dibuat dengan melayari portal rasmi www.budimadani.gov.my untuk mengetahui status kelayakan serta baki penggunaan subsidi bulanan.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan boleh dilakukan secara automatik dengan menggunakan nombor kad pengenalan tanpa memerlukan pendaftaran baharu

“Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran,” katanya.

Kata beliau lagi, bayaran pembelian petrol boleh dilakukan menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet. Resit transaksi turut memaparkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan serta amaun sebenar yang dibayar pengguna.

Difahamkan, kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil pemansuhan subsidi pukal, dengan dana itu akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Orang ramai yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi talian BUDI95 di 1300-88-9595 mulai hari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat