Rakyat Malaysia Di New York Diminta Waspada Susulan Ribut Salji

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang berada di New York diminta meningkatkan kewaspadaan dan mengehadkan pergerakan selepas Gabenor Kathy Hochul mengisytiharkan keadaan darurat berikutan ribut salji teruk yang melanda negeri itu.

Dalam kenyataan rasmi, Konsulat Jeneral Malaysia di New York memaklumkan bahawa keadaan cuaca semakin buruk sejak lewat malam Sabtu dan dijangka berterusan sehingga Isnin.

Sehubungan itu, semua urusan kaunter di konsulat akan digantung sementara pada Isnin dengan operasi dijalankan secara jarak jauh.

Semua janji temu konsular yang telah dijadualkan turut ditangguhkan ke tarikh baharu.

Rakyat Malaysia diingatkan agar mengelakkan perjalanan yang tidak perlu, tidak berada di jalan raya bagi memberi laluan kepada kenderaan kecemasan serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Konsulat berkata, langkah itu penting demi keselamatan komuniti Malaysia di kawasan terjejas.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, orang ramai boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York melalui talian +1 (212) 490 2723 atau +1 (929) 685 2855, selain menghantar e-mel ke [email protected].

Ribut salji yang melanda Amerika Syarikat kali ini menjejaskan jutaan penduduk dengan liputan cuaca ekstrem merentasi lebih 3,000 kilometer kawasan di seluruh negara, menurut laporan The Washington Post.

Anda Mungkin Berminat