Rakyat Malaysia Di Venezuela Selamat – Wisma Putra

PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia yang berada di Caracas, Venezuela disahkan selamat susulan konflik serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu pada Sabtu.

Dalam kenyataan media pada Ahad, Wisma Putra berkata, pihaknya sedang memantau rapi keadaan semasa dan bersiap sedia memberikan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Wisma Putra turut menekankan pendirian Malaysia yang konsisten menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara termasuk ancaman atau penggunaan kekerasan.

“Kementerian Luar Negeri sedang memantau dengan teliti perkembangan terkini di Caracas, Venezuela susulan laporan mengenai operasi keselamatan yang dijalankan di ibu negara tersebut pada awal hari ini.

“Prinsip-prinsip ini merupakan asas penting yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Undang-Undang Antarabangsa.

“Malaysia sentiasa menegaskan keperluan penyelesaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pematuhan kepada norma-norma antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa genting ini amat penting bagi semua pihak untuk mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya serta mencari penyelesaian aman melalui dialog dan diplomasi.

Selari dengan perkembangan tersebut, Wisma Putra menegaskan keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

Warganegara Malaysia di Venezuela yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas melalui e-mel [email protected] atau talian (58-212) 720 4257.

Wisma Putra juga memberi jaminan akan terus memantau perkembangan semasa secara aktif dan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

“Rakyat Malaysia di Venezuela dinasihatkan agar kekal berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung rapat dengan pihak kedutaan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat