Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Konflik di Sudan dilaporkan kian meruncing sehingga terdapat risiko keselamatan di negara bergolak itu.
Kementerian Luar menerusi kenyataan di Wisma Putra hari ini menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan untuk membuat persiapan bagi meninggalkan negara tersebut.
“Memandangkan risiko yang semakin meningkat, serta kemungkinan keadaan keselamatan terus meruncing, kementerian ini menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan untuk mengutamakan keselamatan mereka dan membuat persiapan bagi segera meninggalkan negara tersebut, sementara penerbangan komersial masih beroperasi,” kata Wisma Putra di laman X hari ini.
Ujarnya, Pejabat Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia serta menyelaras bersama pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan status 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL).
“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau situasi keselamatan di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut.
“Kementerian ini juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan,” tambahnya.
Oleh itu katanya, kerajaan sentiasa mengetengahkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di berada luar negara.
Wisma Putra turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan sebarang perkembangan lanjut sekiranya perlu.
Baca juga: