KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama membaca Qunut Nazilah dan menunaikan Solat Hajat sebagai tanda solidariti dan doa demi keamanan di Gaza serta seluruh Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, seruan itu adalah manifestasi keprihatinan rakyat Malaysia terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di rantau tersebut.
“Rakyat Malaysia diseru membaca Qunut Nazilah dan Solat Hajat demi keamanan Gaza dan Asia Barat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Seruan itu hadir ketika dunia dikejutkan dengan laporan media rasmi Iran bahawa Ali Khamenei, 86, terbunuh dalam serangan udara yang didakwa dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa kematian Khamenei sebagai usaha menamatkan ancaman keselamatan terhadap negaranya.







