Oleh: Tyah Helmi
SEPANG: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini bergema dengan sorakan, doa dan semangat solidariti apabila ratusan rakyat Malaysia berkumpul bagi menyambut kepulangan 23 delegasi negara yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), selepas melalui detik mencemaskan akibat diculik oleh rejim haram Israel.
Sejak pukul 6 petang, lobi balai ketibaan mula dipenuhi dengan orang ramai yang hadir membawa sepanduk, bendera Palestin dan laungan semangat, menanti dengan penuh sabar dan harapan untuk melihat wajah para sukarelawan yang selamat kembali ke tanah air.
Antara laungan yang bergema di ruang ketibaan termasuk “Bebas-Bebas Palestin”, “Orang Islam Bersatu, Kami Tidak Boleh Dikalahkan” serta takbir dan zikir yang mengiringi suasana penuh emosi.
Para peserta turut melaungkan doa qunut nazilah sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Namun dalam keghairahan menyambut kepulangan delegasi, turut kedengaran laungan keras yang mencerminkan kemarahan terhadap kekejaman rejim Israel, termasuk “Hancur-Hancur Israel”, “Musnah-Musnah Zionis” dan “Israel Bangsat”.
Laungan tersebut mencerminkan kemarahan rakyat terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan yang menimpa para sukarelawan Malaysia.
Difahamkan, kesemua delegasi yang berjaya dibebaskan telah berlepas dari Lapangan Terbang Istanbul dengan menaiki pesawat Turkish Airlines yang ditaja sepenuhnya oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Dimaklumkan bahawa delegasi dijangka tiba di KLIA Terminal 1 pada pukul 10.00 malam, Selasa.
Kehadiran mereka bukan sahaja dinanti oleh keluarga dan sahabat tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi ini dengan penuh doa dan harapan.
Kepulangan mereka menjadi simbol keberanian, ketabahan dan semangat kemanusiaan yang tidak pernah padam serta mengukuhkan lagi sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin di pentas global.








