Rakyat Perlu Diperkasa Hadapi Era AI – PM

ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi beliau ke Republik Türkiye dengan menghadiri Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di Ankara pada Selasa.

Majlis tersebut menjadi wadah penting untuk beliau berkongsi hala tuju jelas Kerajaan MADANI dalam mengurus ekonomi negara serta memperkukuh tatakelola berintegriti, telus dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Saya tekankan bahawa kekuatan ekonomi yang mampan membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai manfaat secara terus kepada rakyat selain sokongan berterusan melalui agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa rakyat perlu diperkasa dengan keupayaan menghadapi perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), agar mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kemakmuran yang dibina dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.

“Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan kemakmuran yang dibina dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh, demi masa depan Malaysia yang lebih berdaya saing, inklusif dan berperikemanusiaan,” katanya lagi.

Majlis yang berlangsung di Ankara itu bukan sahaja memperkukuh hubungan erat antara kerajaan dan rakyat Malaysia di luar negara tetapi juga menzahirkan aspirasi Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan dengan ekonomi yang mampan, rakyat yang berdaya tahan serta tatakelola yang telus.

Anda Mungkin Berminat