Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat perlu terus bekerja keras serta memelihara perpaduan agar ianya lebih kukuh di pentas negara malah antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam landskap global yang semakin rencam dan mencabar, kekuatan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata pada angka dan aset, sebaliknya bergantung kepada sinergi keharmonian, kesatuan tekad serta perpaduan rakyat dalam menjamin keamanan dan kestabilan yang berpanjangan.
“Dalam lanskap global yang semakin rencam dan mencabar, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur pada angka dan aset.
“Tetapi pada sinergi keharmonian, kesatuan tekad serta perpaduan rakyat dalam menjamin keamanan dan kestabilan yang berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan media pada lewat Isnin.
Justeru katanya, bagi mendepani pelbagai krisis dan isu kemanusiaan sejagat, dunia memerlukan kepimpinan yang waras, berprinsip dan bijaksana yang mengutamakan dialog, menjunjung nilai kemanusiaan serta menolak segala bentuk perpecahan.
“Semoga semangat Ramadan ini terus menyuburkan kebersamaan dan memperteguh azam kita untuk membina Malaysia yang dihormati dan disegani di persada dunia,” kata Anwar.
Tegas beliau juga, Kerajaan Madani kekal komited dan berusaha untuk memastikan kestabilan dan perpaduan kekal menjadi teras dalam memperkukuh kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
Baca juga:








