Penjawat awam perlu berperanan penting dalam memperluaskan konsep Malaysia MADANI bagi memastikan rakyat dapat memahami dan menghayatinya dengan lebih menyeluruh.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berkata konsep yang diperkenalkan setahun lalu itu masih belum mencapai tahap memuaskan berikutan kebanyakan masyarakat belum memahami dan mendalami perkara itu.
“Walaupun sudah setahun konsep MADANI diperkenalkan, kita masih memerlukan lagi masa untuk menyebarkan erti MADANI kepada masyarakat terutama kakitangan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam (menggerakkan) kerajaan MADANI,” katanya selepas program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kuala Lumpur, pada Ahad.
Perdana Menteri pada 19 Januari tahun lalu memperkenalkan konsep ‘Malaysia MADANI’ yang bersifat inklusif merangkumi semua golongan dan kaum dalam usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Konsep Malaysia MADANI memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan ke arah membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan tinggi melalui enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya Cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berharap setiap individu tidak mengira latar belakang dari seluruh negara membabitkan diri dalam mencapai misi konsep Malaysia MADANI.
Harian Metro melaporkan, MADANI bermaksud ketamadunan untuk mengangkat Malaysia ke satu tahap lebih baik.
Baca juga: