Kehadiran bulan Ramadan menjadi detik paling dinantikan oleh kaum mukmin, sementelah itu menjadi peluang untuk memperbanyakkan ibadah sekali gus meningkatkan keimanan.
Malah, Ramadan yang menjadi bulan kesembilan dalam kalendar Islam dianggap sebagai momen paling suci bagi umat Islam kerana banyak ibadah boleh dilakukan di samping mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Selain ganjaran pahala yang berganda, terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW dalam bulan Ramadan.
1. Bulan ayat pertama Al-Quran diturunkan
Ayat Al-Quran yang pertama turun pada 17 Ramadan tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad di Gua Hira.
Ayat al-Quran yang pertama diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad yang menjadikan Malaikat Jibril sebagai pengantara ialah lima ayat pertama Surah Al-Alaq.

Selepas penurunan ayat pertama itu, ayat-ayat al-Quran yang seterusnya juga diturunkan secara berperingkat hingga lengkap kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.
2. Malam Lailatul Qadar
Malam Lailatul Qadar ini merupakan malam yang sangat istimewa kerana hanya kunjung tiba ketika 10 malam terakhir di bulan Ramadan.
Ia turut dikatakan bahawa malam tersebut merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang beribadah pada malam itu akan mendapatkan pahala selama seribu bulan atau lebih dari 83 tahun.
Tiada tarikh yang tepat menunjukkan jatuhnya malam Lailatul Qadar tersebut, maka umat Islam perlu memperbanyakkan amalan mereka ketika bulan Ramadan terutama sekali apabila berada di 10 malam terakhir bulan berkenaan.
3. Perang Badar
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah di Hijaz, yang berada di bahagian barat Arab Saudi.
Ia merupakan pertempuran antara orang Islam di Madinah, diketuai oleh Nabi Muhammad dan kaum Quraisy di Mekah.
Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan ini dimenangi oleh orang Islam dan menunjukkan kuasa nabi Muhammad sebagai pemimpin Madinah hingga sesetengah suku kaum Arab mulai memeluk Islam dan perkembangan Islam semakin pesat.
4. Pembukaan Kota Makkah
Peristiwa pembukaan kota Makkah ini bermula pada 10 Ramadan tahun kelapan Hijrah apabila Musyrikin Makkah melanggar Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Musyrikin Makkah dan Rasulullah.
Namun, perjanjian untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun dilanggar kerana bani Quraisy membantu Bani Bakar untuk menyerang Bani Khuzaah yang memberikan kesetiaan kepada Muhammad.
Setelah mengetahui mengenai serangan ini, Nabi Muhammad membawa 10,000 orang tentera Islam ke Makkah dan pihak Quraisy di Makkah menyerah kalah lalu tentera Islam menguasai Makkah secara keseluruhan.
5. Kewafatan Saidatina Khadijah binti Khuwailid
Saidatina Khadijah merupakan isteri pertama Nabi Muhammad dan orang pertama yang memeluk Islam.
Saidatina Khadijah wafat pada 11 Ramadan, 10 tahun selepas ayat Al-Quran pertama diturunkan di pangkuan Rasulullah selepas 23 tahun menjadi isteri kepada Baginda.
Saidatina Khadijah juga merupakan isteri yang paling disayangi baginda kerana menurut hadis riwayat Muslim, Rasulullah bersabda, “Sungguh Allah telah menganugerahkan kepadaku rasa cinta kepada Khadijah”.
Nabi Muhammad memanggil tahun tersebut sebagai ‘Tahun Kesedihan’ kerana baginda turut kehilangan bapa saudara kesayangan Rasulullah, Abu Talib pada tahun yang sama.
Baca juga: