Ramadan MADANI YAPEIM salur RM1.4 juta, beri manfaat lebih 42,000 golongan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Program Ramadan Madani YAPEIM tahun ini memberi manfaat lebih 42,000 golongan memerlukan di seluruh negara dengan hasil peruntukan hampir RM1.4 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan, selain bantuan tunai kepada individu, program tersebut turut menyalurkan sumbangan kepada surau, masjid serta sekolah agama dan KAFA.

“Program ini bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan secara langsung, malah memperkukuh peranan institusi komuniti dalam pembangunan ummah,” katanya.

Dr Zulkifli Hasan berkata, program yang berteraskan Madani itu mahu menonjolkan nilai inklusiviti ketika mana penyertaan merentasi latar belakang agama.

“Ramadan bukan sekadar membawa kegembiraan kepada umat Islam, tetapi menjadi ruang mempererat silaturrahim dan ukhwah seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 di Serendah, Selangor.

Program berkenaan bermula pada 25 Februari di Sabah sebelum diteruskan ke seluruh negara sebagai jelajah kebajikan berskala nasional.

Dr Zulkifli berharap inisiatif berterusan ini akan terus memperkukuh peranan YAPEIM dalam menyalurkan bantuan secara inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada golongan sasar.

Sejak Februari lalu, sebanyak 31 program telah dilaksanakan di pelbagai lokasi, memperluas capaian bantuan kepada kumpulan sasar termasuk pelajar, keluarga B40, golongan asnaf serta institusi masyarakat.

Anda Mungkin Berminat