PARLIMEN: Kebanyakan bakal penjawat awam termasuk jururawat beranggapan mereka mendapat penempatan di kampung halaman apabila diberi tawaran, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Susulan itu, kata beliau, empat negeri itu menjadi permohonan penempatan popular dalam kalangan jururawat iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, KKM berdepan kekurangan jururawat di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor yang mana memberi cabaran terutama bagi menampung keperluan di negeri berkenaan.
“KKM turut berdepan kesukaran mewujudkan keseimbangan antara jumlah kekosongan perjawatan dan lokasi penempatan yang tidak memenuhi citarasa pemohon,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak mengenai pengisian perjawatan di KKM, terutama jururawat di beberapa negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan rekod, hampir 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk keluar dalam tempoh lima tahun dengan 27.98 peratus akibat masalah peribadi dan ia adalah peratusan tertinggi.
“Ada juga memilih untuk keluar berpindah ke sektor swasta iaitu 18.22 peratus atau 390 orang daripada angka berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, pengisian jawatan jururawat di fasiliti KKM kini mencapai 88 peratus.
Sehingga kini, ujar beliau, sekurang-kurangnya 43,243 kekosongan bagi perjawatan itu perlu diisi bagi membantu melancarkan perkhidmatan kesihatan dalam negara.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengenai inisiatif kerajaan untuk mengisi kekosongan jawatan jururawat yang dilihat masih mencecah puluhan ribu.