Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa amalan rasuah masih berleluasa dalam pelbagai sektor negara dan perlu diperangi secara besar-besaran.
Baginda bertitah bahawa sejurus tiba di Kuala Lumpur, beberapa pihak yang terlibat telah berjaya diburu.
“Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya Saya telah berjaya jumpa,” titah baginda.
Baginda turut melahirkan rasa kecewa apabila kes rasuah berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga ke peringkat tertinggi.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga ke peringkat tertinggi.
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau ‘the tip of the iceberg’,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, masih ramai lagi pihak lain yang terlibat, termasuk dalam jabatan kerajaan dan institusi penguatkuasaan.
“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam Dewan ini yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
Baginda menyeru rakyat agar memainkan peranan penting dengan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
“Rakyat sewajarnya menjadi mata-mata utama dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah yang berlaku serta menyiasat seluruh golongan sama ada pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menekankan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Kerajaan juga perlu menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera,” titahnya.
Dalam peringatan tegas kepada Ahli Parlimen dan penjawat awam, baginda menekankan bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.
“Mereka akan dilabel menjadi pengkhianat negara sekiranya didapati menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah serta bersubahat melindungi rasuah,” titah baginda.







