Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Beberapa penerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (MySara) dalam kalangan golongan lebih berada mula menggunakan kemudahan itu untuk membantu insan yang kurang bernasib baik sebelum ia tamat pada 31 Disember 2025.
Perkongsian di Twitter oleh pengguna @simpletonED menunjukkan dia menggunakan MYsara bernilai RM100 untuk membeli barangan makanan dan disumbangkan kepada rumah orang tua.
“Terima kasih Mysara dan Mykasih. Saya guna untuk beri sumbangan ke rumah orang tua” tulisnya.
Perkongsiannya menerima pujian netizen di ruangan komen yang rata-rata memuji tindakannya yang tahu memanfaatkan bantuan Kerajaan.
Selain itu, seorang doktor perubatan dikenali sebagai Celoteh Dr Malar turut berkongsi pengalamannya menggunakan MYsara untuk membeli tuala wanita dan memberikannya kepada pekerja perempuan di tempat kerja.
Jelasnya, dia sudah lama berhajat untuk membelikan pekerja wanitanya keperluan wanita serta barangan kebersihan diri.
Di Thread pula, seorang pengguna @farhanahmurat mendedahkan ramai penerima termasuk dirinya sedang mencari keluarga yang memerlukan supaya hasil MYsara mereka boleh disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan, termasuk pembelian makanan untuk keluarga B40.
“Ada keluarga dari golongan B40 yang tinggal di Hulu Langat tak? Saya nak bawa mereka beli makanan menggunakan mysara saya. Saya belum mengggunakannya” katanya.

Terdapat juga penerima yang sengaja menunggu sehingga penghujung tahun sebelum menggunakan MYsara mereka, kerana sedar hujung tahun biasanya perbelanjaan meningkat.
Bantuan MYsara yang diberikan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban rakyat menjelang akhir tahun, dan perkongsian di media sosial menunjukkan ia turut menjadi platform untuk amalan sedekah dan kebajikan masyarakat.
Pengguna dilaporkan mengambil inisiatif menggunakan MYsara bukan hanya untuk kegunaan sendiri tetapi juga sebagai peluang membantu mereka yang kurang bernasib baik, sekali gus menunjukkan impak sosial program itu.
Bagi mereka yang belum menggunakan MYsara, ini juga peringatan bahawa bantuan tersebut sah sehingga 31 Disember 2025. Jika tidak diperlukan sendiri, manfaatkan peluang ini untuk bersedekah dan menyumbang kepada mereka yang lebih memerlukan.
Baca juga:








