Ramai teruja ‘teaser’ Sofyank gabung Kahar, Polis Evo dan Keluangman

Oleh: Tyah Helmi

KARYA terbaharu pencipta kandungan digital popular, Sofyank tular di media sosial namun dalam versi yang lebih mega.

Teaser pendek “Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning” berjaya mencuri perhatian ramai sementelah dengan penampilan watak-watak super hero bertemu dalam satu karya.

Difahamkan, itu merupakan penglibatan pertamanya dalam menghasilkan teaser pendek bersama produksi berskala besar dan dua rakan kolaborasi, Mshaffuan serta Nicholas Chin, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kreatif mereka.

Sofyank menjelaskan ianya pengalaman berharga apabila mereka dapat merasai sendiri suasana penggambaran yang lebih profesional dan tersusun.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam produksi berskala besar.

“Dari situ, kami banyak belajar dan merasai sendiri tahap keseriusan serta disiplin dalam dunia perfileman,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut merakamkan penghargaan kepada Astro Shaw atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab besar tersebut.

“Alhamdulillah, banyak perkara baharu yang saya pelajari sepanjang penghasilan teaser ini.

“Semoga ia menjadi jambatan untuk kami melangkah lebih jauh ke dunia perfileman dan menimba pengalaman daripada mereka yang lebih berpengalaman,” ujarnya menerusi Facebook pada Khamis.

Untuk info, teaser pendek berkenaan memaparkan sinematik beberapa gabungan watak ikonik daripada filem Kahar, Polis Evo dan Keluang Man sekaligus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat.

Pada masa yang sama, menerusi ruangan komen di teaser pendek yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, majoriti warga di atas talian memuji hasil karya tersebut dan menyifatkannya setaraf dengan teaser filem antarabangsa, selain melihatnya sebagai petanda positif kepada masa depan industri perfileman tempatan.

Seorang pengguna Facebook, Nur Fazlan, menyuarakan keyakinannya terhadap bakat Sofyank dengan menulis, “Aku harap satu hari nanti kau akan jadi pengarah.

“Kau memang layak, Sofyank,” katanya.

Nada sama turut dikongsi Faizal Abd Karim yang menyifatkan karya itu sebagai permulaan kepada pembikinan filem penuh.

Sementara itu, Muhammad Sobri pula berharap pendekatan realistik dan berkualiti seperti teaser tersebut dapat diterapkan dalam filem Keluang Man kelak.


Baca juga:

Anda Mungkin Berminat