PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia yang baharu dilantik, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menegaskan komitmennya untuk mengangkat maruah pekerja dan memperkukuh ekosistem tenaga kerja negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ramanan berkata, pelantikannya ke portfolio Sumber Manusia merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab khususnya dalam memastikan kebajikan pekerja, pembangunan kemahiran dan daya saing tenaga kerja diberi keutamaan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk mengemudi Kementerian Sumber Manusia, sambil menegaskan iltizam untuk memperkasakan agenda pembangunan tenaga kerja secara menyeluruh, inklusif dan mampan.
“Keutamaan saya adalah memastikan pekerja dihormati, dilindungi dan diperkasakan agar mereka mampu menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Ramanan yang juga mewakili komuniti India turut menyampaikan ucapan “Nandri” kepada Anwar atas mandat dan penghormatan yang diberikan, sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai simbol kepercayaan terhadap kepelbagaian dan keterangkuman dalam pentadbiran MADANI.
Beliau berkata, pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan diadakan dalam masa terdekat selepas proses mengangkat sumpah bagi menyelaraskan keutamaan dasar serta memastikan pelaksanaan segera agenda reformasi pasaran buruh.
Dalam kenyataan sama, Ramanan menegaskan beliau akan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen demi menjamin harapan seluruh rakyat Malaysia termasuk komuniti India, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Mengulas pengalaman terdahulu, Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta seluruh warganya atas kerjasama padu sepanjang hampir dua tahun perkhidmatan beliau khususnya dalam memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti India.








