Rapid KL Lanjut Operasi Stesen Bukit Jalil Hingga Sempena Final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Rapid KL mengumumkan bahawa operasi Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 12.30 tengah malam pada Sabtu, 23 Mei 2026, bagi memudahkan pergerakan penonton selepas tamat perlawanan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Waktu operasi Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 12.30 tengah malam pada Sabtu, 23 Mei 2026 bersempena perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata kenyataan itu.

Lanjutan operasi itu melibatkan Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang selepas perlawanan tamat.

Rapid KL turut memaklumkan bahawa Stesen Sungai Besi akan dibuka untuk pertukaran antara kedua-dua laluan tersebut, manakala stesen lain akan beroperasi seperti biasa bagi penumpang yang ingin keluar di mana-mana hentian sepanjang laluan.

Rapid KL menasihatkan penonton agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan kemudahan Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen sepanjang laluan berkenaan.

“Para penonton yang hadir ke perlawanan dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan kemudahan parkir di Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen sepanjang Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya,” katanya.

Bagi melancarkan perjalanan, penyokong disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai, manakala pengguna token digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik.

Rapid KL juga akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik untuk membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan dan kemudahan Park N’ Ride, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.myrapid.com.my.

Anda Mungkin Berminat