Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Bagi meningkatkan keterjaminan keselamatan kaum wanita dalam menggunakan pengangkutan awam, pihak Rapid Kuala Lumpur (KL) mengambil inisiatif menambah lagi koc wanita, bermula 31 Disember 2024.
Menerusi kenyataan hari ini, penambahan koc itu akan dilakukan di laluan Ampang/Sri Petaling.
Untuk rekod, sebanyak 60 peratus golongan wanita menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL dan dengan tambahan koc ini dapat bantu meningkatkan tahap keselesaan yang lebih baik kepada mereka.

“Bagi memudahkan pengguna mengenalpasti koc wanita, sebanyak 36 stesen dan 45 tren di laluan Ampang/Sri Petaling telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu.
“Koc wanita ini terletak di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat. Ia boleh digunakan oleh penumpang wanita dari pelbagai peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditemani penjaga wanita.
“Manakala, bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana gerabak tren,” jelas pihak Rapid pada Isnin.
Tambahnya, pelaksanaan koc wanita yang telah dibuat di laluan Kajang menyebabkan bilangan kes gangguan tidak diingini telah menunjukkan penurunan sebanyak 22 peratus sehingga November, baru-baru ini.

Dalam pada itu, laluan Putrajaya juga turut menyaksikan penurunan kes yang agak ketara, iaitu sebanyak 50 peratus sejak pelaksanaan koc wanita itu mula beroperasi pada April lalu.
Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan sedikit ketidakpuasan hati oleh kaum lelaki yang mendakwa inisiatif tersebut sama sekali tidak adil.
“Hi @rapidKL, langkah berat sebelah hanya menghindari warga lelaki dari naik tren. Langkah ini wajib dihentikan serta merta,” komen Cheng Soon Wai di aplikasi Facebook.
“Lepas ini, kalau ada perempuan kat koc wanita, kena halau. Biar koc wanita itu penuh tempat duduk dan penuh berdiri,” balas Yusof Muhammad Chin.
Baca juga: