Raptai Penuh Hari Kebangsaan 2025: PM hadir mengejut, pelbagai ‘wow factor’ menanti

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Hari Raptai Penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini begitu menyerlah malah dikejutkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni para petugas perarakan di Dataran Putrajaya, pada Jumaat.

Menerusi tinjauan Malaysia Bangkit, sesi raptai penuh bermula seawal 7 pagi tadi dengan perarakan utama sejauh 2.1 Kilometer dari persimpangan Dataran Putra yang disertai 14,062 peserta daripada pelbagai agensi, kementerian dan unit-beruniform.

Ketika mana acara raptai dimulakan, penampilan istimewa, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.

Manakala, sesi raptai turut diserikan lagi dengan persembahan ‘human graphic’ dan koir turut ditampilkan yang melibatkan seramai 2,000 pelajar dari 50 buah sekolah menengah sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, kehadiran beberapa artis dan pelakon tanah air seperti Elfira Loy serta adiknya iaitu Ezlisa Loy turut menjadi daya penarik pagi tadi di bahagian sokongan orang ramai.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui hari ini berkata, Kerajaan Madani akan menonjolkan beberapa elemen ‘Wow Factor’ di saat Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos kelak.
“Antara elemen ‘Wow Factor’ tahun ini adalah, persembahan Khas Malaysia Madani di bawah penyelarasan JKKN – melibatkan penyertaan 1,000 orang peserta.

“Persembahan ini bakal menonjolkan kepelbagaian warisan budaya negara dengan pendekatan kreatif dan kontemporari, selaras dengan semangat Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni,” katanya.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang hadir di sesi raptai hari ini turut dipersembahkan dengan persembahan udara yang diselaraskan oleh Angkatan Tentera Malaysia bersama gabungan daripada badan-badan beruniform yang memaparkan kepelbagaian formasi udara yang begitu menarik perhatian ramai.

Sepertimana tahun-tahun lepas, perarakan tidak lekang tanpa hadirnya tujuh kenderaan berhias daripada pelbagai agensi dan syarikat akan mewarnai kemeriahan sambutan pada tahun ini.

Antara agensi yang mengambil bahagian adalah, Kepengerusian ASEAN (KLN) – Visit Malaysia Year 2026 (VM2026) (MOTAC), U Mobile (U Mobile), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat