Oleh: Shafira Aziz
PORT DICKSON: Pantai Teluk Kemang, dekat sini kembali kelihatan lebih ‘bersih’ tanpa lambakan khemah biru yang didirikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dua keping gambar yang dikongsikan pengguna X, Maslinayna tentang hal itu tular dan mendapat maklum balas positif daripada warga maya.
“Alhamdulillah, Pantai Teluk Kemang lepas dah takda khemah biru, yang ada kerusi meja tu memang dekat kawasan gerai makan.
“Barulah rasa tenang..kalau tak serabut mata memandang,” tulisnya baru-baru ini.
Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengambil tindakan sita terhadap peniaga yang memonopoli kawasan tersebut tanpa permit.
Difahamkan, isu tersebut bukanlah isu baharu, namun ia telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Para pelancong turut menghela nafas lega setelah tindakan tersebut dilakukan kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai pilihan tetapi menyewa khemah tersebut.
Masakan tidak, peniaga di sana mendirikan khemah secara kekal hingga tidak membenarkan para pelancong untuk mendirikan khemah mereka sendiri.
Rata-rata warganet turut memberi komen positif terhadap ketiadaan khemah biru di kawasan tersebut.
“Barulah nampak keindahan semula jadi pantai ciptaan Yang Maha Esa. Kalau macam ini baru ada semangat nak pergi sana,” komen Fazlina Abu Wahab.
“Barulah betul. Pergi sana untuk menikmati suasana alam semula jadi dan keindahan pantai. Kalau tidak berserabut kepala pergi sana. Tak boleh nak ‘healing’ langsung,” kata Khairul Kaj.
Kini, Teluk Kemang kembali mesra pelancong dan mudah diakses tanpa gangguan atau paksaan sewa.
Baca juga: