KOTA KINABALU: Pendakwaan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah baru-baru ini disifatkan sebagai bukti ketelusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu rasuah secara serius dan bebas daripada campur tangan politik.
Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin, berkata pentadbiran Madani jelas berpegang kepada prinsip integriti dan memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara bebas.
“Di bawah kerajaan Madani, kita tegas menentang rasuah dan tidak kira siapa yang terlibat. Perdana Menteri sangat komited. Beliau tidak menghalang atau mendesak SPRM kerana kita mahu siasatan yang bebas tanpa sebarang pengaruh politik,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Beliau merujuk kepada pendakwaan terhadap ADUN Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy dan ADUN Sindumin, Dr Yusof Yaacob yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu baru-baru ini atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan permohonan lesen melombong.
Mengulas mengenai hanya dua ADUN yang didakwa setakat ini walaupun terdapat beberapa rakaman video tular, Razeef menjelaskan bahawa proses pendakwaan perlu bersandarkan kepada bukti lengkap dan bukan sekadar rakaman visual.
Katanya, SPRM perlu menyediakan kertas siasatan yang menyeluruh termasuk bukti aliran wang (money trail), tarikh, lokasi, jumlah yang diberikan serta tujuan pemberian sebelum tindakan boleh diambil.
“Kalau hanya guna video tanpa bukti lain, ia berisiko membawa kepada kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Itu sebabnya penting siasatan dibuat dengan rapi dan bukti dikumpul sebaiknya,” jelasnya lagi.
Razeef juga percaya Ketua Menteri Sabah akan mengambil keputusan terbaik berhubung kedudukan dua ADUN terbabit selepas proses mahkamah berjalan sepenuhnya.
“Ini baru pendakwaan awal, belum sampai tahap pembelaan. Jika Mahkamah putuskan mereka perlu membela diri, maka kita akan lihat apa langkah seterusnya oleh Ketua Menteri,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan SPRM terhadap pemimpin politik memberi mesej jelas bahawa tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.
“Kalau dahulu jerung-jerung besar dilindungi, sekarang mereka juga tidak terlepas. Ini mesej penting kepada semua pemimpin. Rasuah memang sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi yang penting ialah tindakan tegas terhadap pesalah,” katanya.
Baca juga: