KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk rasuah, sambil memberi amaran bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam radar pemerhatian baginda.
Dalam kenyataan pada Isnin, baginda menyifatkan rasuah sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan menegaskan ia sama sekali tidak boleh diterima.
“Usaha membanteras rasuah tidak terhad kepada jabatan tertentu atau hanya melibatkan pemberi dan penerima semata-mata,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan beberapa agensi penguat kuasa supaya sentiasa berwaspada termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tidak kira apa jua pangkat anda. Begitu juga ejen-ejen yang menjadi orang tengah serta pembekal pelbagai peralatan, pakaian dan perubatan, anda juga dalam radar,” titah baginda lagi.
Kenyataan itu hadir ketika isu rasuah kembali menjadi perhatian umum termasuk membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Beliau sebelum ini menafikan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa dan menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak yang menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan baginda mempunyai maklumat sendiri berhubung kegiatan rasuah.
“Bah kata pepatah siapa makan cili, dia terasa pedas. Jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa. Saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah baginda.
Baginda turut menekankan bahawa usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.
“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda lagi.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan supaya pertukaran pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti dilaksanakan tanpa berlengah.








