KUALA LUMPUR: Perjanjian Subsidi Perikanan (Agreement on Fisheries Subsidies, AFS) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kini berkuat kuasa, menandakan langkah besar dalam usaha global memelihara kelestarian laut dan mengekang aktiviti penangkapan ikan berlebihan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia tergolong dalam kelompok awal negara yang meratifikasi perjanjian bersejarah itu apabila beliau menyerahkan Instrument of Acceptance (IoA) bagi pihak kerajaan pada Persidangan Menteri WTO ke-13 (MC13) di Abu Dhabi pada 27 Februari 2024.
“Malaysia menyedari sektor perikanan bukan hanya sumber makanan dan industri, malah ia juga menyokong mata pencarian komuniti nelayan serta merupakan warisan budaya turun-temurun.
“Perjanjian ini amat penting untuk mengawal subsidi yang menyumbang kepada penangkapan ikan secara berlebihan, selain memerangi penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pada Mesyuarat Khas WTO di Geneva pada 15 September 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipilih sebagai salah seorang daripada 10 pemimpin dunia dan organisasi antarabangsa untuk menyampaikan mesej video, mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam agenda kelestarian global.
Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas kerjasama erat dalam menjayakan proses ratifikasi tersebut.
Katanya, usaha itu adalah bukti komitmen Malaysia terhadap kelestarian stok ikan dan kesejahteraan generasi akan datang.